Wednesday, January 9, 2008

1- Kepentingan Ikhlas Dalam Amalan

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وأصحابه وإخوانه أجمعين

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( إنما الأعمال بالنية ، وإنما لامرئ ما نوى ، فمن كانت هجرنه إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه ) – رواه الشيخان وغيرهما



Daripada Umar ibn Al-Khattab RA katanya : Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya amal perbuatan itu (dinilai) dengan niat, dan sesungguhnya untup seseorang apa yang dia niatkan, maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasulnya, dan sesiapa yang hijrahnya untuk mendapatkan bahagian dunia atau perempuan untuk dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa (yang diinginkannya) dia berhijrah kepadanya.

Riwayat : Imam al-Bukhari, Imam Muslim dll.

Penerangan Ringkas:
Hadith ini merupakan salah satu hadith yang menjadi asas dalam agama Islam. Majoriti
perawi dan pengumpul Hadith tidak mengabaikan hadith ini di dalam kitab-kitab mereka. Bahkan sebahagian daripada mereka meletakkan hadith ini di permulaan buku mereka. Ini menunjukkan kepentingan kandungan hadith ini di dalam urusan agama.

Secara umumnya perbincangan utama hadith ini adalah berkaitan kepentingan ikhlas dalam perbuatan. Ikhlas adalah membuat atau meninggalkan sesuatu kerana Allah Taala, bukan kerana makhluqnya. Ikhlas diterangkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya mengenai Ihsan : kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatnya, jika (sememangnya) kamu tidak melihatNya Dia melihat kamu.

Sebagai seorang hamba yang diciptakan oleh Allah untuk mengabdikan hidup kepadaNya dan akan kembali kepadaNya, manusia seharusnya sentiasa merenung diri dan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Apakah tujuan kehidupan ini? Mungkin soalan ini yang paling banyak ditanya oleh manusia kepada dirinya sendiri. Dalam perjalanan mencari jawapan kepada soalan ini lahirlah pelbagai agama, mazhab, falsafah dan lain-lain. Tuhan Yang Maha Adil tidak membiarkan manusia tercari-cari tanpa jawapan. Pengutusan Utusan dari semasa ke samasa sehingga Utusan Terakhir menjadi jawapan kepada persoalan tersebut. Namun bukan semua manusia bersedia menerima jawapan tersebut dan meneruskan pencarian yang tiada penghujung (tanpa bimbingan Utusan).

Secara jujur pasti soalan berkaitan Ketuhanan tidak mampu difikirkan oleh akal. Sesuatu yang tiada sempadan dan di luar kemampuan. Oleh itu beriman kepada Utusan Tuhan (Rasulullah) merupakan jalan terbaik selepas melihat kepada intipati ajaran tersebut.Intipati ajaran Islam adalah beriman kepada Tuhan Yang Satu. Hanya Satu Kuasa Esa (Tunggal) yang berkuasa di atas segalanya. Kita dicipta oleh Tuhan yang sama. Oleh itu menjadi satu kewajipan segala perbuatan kita adalah untuk Tuhan.

Di antara perbincangan meluas para ilmuan Islam dalam masalah ini adalah fitrah manusia. Sebagai manusia yang mempunyai pelbagai keperluan dan kehendak pasti untuk satu perbutan terdapat pelbagai tujuan. Contoh yang paling mudah adalah seorang guru yang mengajar ilmu agama dengan tujuan menyebarkan ilmu pengetahuan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan pada masa yang sama sebagai punca pendapatan. Kekadang suara hatinya membisikkan akan kehebatan dirinya menguasai ilmu agama dan dia lebih daripada anak muridnya. Menjawab persoalan ini kita perlu melihat apakah tujuan utama guru tersebut mengajar. Jika tujuan utamanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka punca pendapatannya adalah kelebihan yang Allah kurniakan kepadanya. Dia tidak perlu menghiraukan bisikan hatinya (akan kehebatan dirinya) kerana itu adalah perbuatan Syaitan yang tidak sesekali lalai menggoda manusia, sebaliknya beristighfar dan memohon perlindungan dari Allah. In Sya Allah beliau tergolong dalam golongan yang ikhlas.

Namun jika sememangnya tujuan utama guru berkenaan untuk mendapatkan kekayaan di dunia ini(yang sangat kecil sebenarnya, bahkan tidak bernilai selepas kematiannya ) , beliau mungkin akan memperolehi kekayaan tersebut dengan izin Allah, tetapi terlepas ganjaran yang lebih besar di sisi Allah.

Lebih malang kalau tujuan utamanya untuk menunjukkan kehebatan dirinya, maka dia telah melakukan satu kesilapan terbesar dalam hidupnya : mengubah pahala kepada dosa.

No comments: